Saturday, 9 November 2013

KAITAN PENGAMBILAN SANTAN DAN KOLESTEROL

 
 
Santan kelapa satu bahan masakan yang digunakan oleh masyarakat di Malaysia sejak dulu lagi. Masakan seperti Gulai kawah, rendang dan lemang yang popular pada hari raya menggunakan santan dalam penyediaannya. Bagi masyarakat di Negeri Sembilan pula, gulai lemak cili api hampir setiap hari menggunakan santan. Bukan hanya masyarakat Melayu, kaum India juga banyak menggunakan santan dalam masakan mereka.



Kebanyakan penduduk di Asia Tenggara dan Kepulauan Pasifik pengguna santan dalam masakan harian mereka. Santan selalu dikatakan sebagai lemak yang tidak sihat dan boleh menyebabkan masalah kolesterol tinggi. Adakah pendapat ini benar dan bersandarkan kajian saintifik yang betul? Kita selalu dinasihatkan untuk mengurangkan penggunaan santan dalam masakan seharian kita kerana mengandungi lemak tepu yang tinggi dan dikatakan boleh menyebabkan masalah peningkatan paras kolesterol dalam darah.
Ada juga pakar pemakanan mencadangkan penggunaan susu sebagai ganti kepada santan dalam makanan. Dulu, saya selalu menasihati pesakit saya yang mempunyai masalah kolesterol untuk meninggalkan makanan berasaskan santan kerana dulu saya berpendapat lemak tepu dalam santan boleh menjadi punca meningkatnya paras kolesterol dalam darah.



Selepas membaca pelbagai kajian terkini dalam jurnal perubatan, saya mendapati kajian penggunaan santan atau minyak kelapa merumuskan fakta yang agak berlainan.

Kajian sains Ironinya ada kajian sains mendapati masyarakat yang mengambil santan selalu dalam makanan mereka mempunyai kadar penyakit jantung yang rendah dan paras kolesterol rendah juga.
Di antara kajian dilaporkan dalam jurnal perubatan Asia Pasifik pada tahun 2011, yang dijalankan di Filipina mendapati pengambilan minyak kelapa dalam makanan seharian dalam kalangan wanita pramenopaus meningkatkan kolesterol baik HDL-c dan menurunkan kolesterol jahat jenis LDL dan Trigliserida. Oleh itu, ia mempunyai faedah kesihatan yang baik menurunkan risiko sakit jantung.

Lebih menarik lagi, data dari Filipina yang dilaporkan oleh ‘Philipine National Nutrition Survey’ (PNNS) pada tahun 2003 juga mendapati relatif insiden yang rendah untuk masalah kolesterol berlebihan (hypercholesterolemia), darah tinggi (hypertension), angin ahmar (stroke) dan sakit jantung (angina) dalam kalangan penduduk di Daerah Bicol yang mengambil santan dan minyak kelapa yang tinggi berbanding daerah lain di Filipina dalam makanan seharian mereka. Prof Philippe Legrand dari Peranchis, seorang pakar biokimia dari Makmal Biokimia dan Pemakanan Manusia di Universiti Agronomidi, Rennes, Peranchis, mempunyai pendapat yang sama berkenaan santan dan kesannya kepada paras kolesterol.
Beliau menyatakan bahawa bahan di dalam santan atau minyak kelapa iaitu asid laurik dan asid miristik iaitu asid lemak dalam kumpulan asid lemak rantaian sederhana (MCFA) lebih cepat dimetabolismakan dalam hati manusia dan menurunkan paras kolesterol, justeru, ia mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular.
Di samping itu juga, santan atau minyak kelapa mempunyai kesan positif lain seperti antifungal, antivirus, antimikrobial dan antiprotozoa.
Menurut beliau, santan boleh menjadi sebahagian daripada diet sihat jika diambil secara sederhana dan tidak menyebabkan peningkatan kolesterol dalam darah.
Terdapat juga satu kajian dijalankan di Kerala, India, seperti dilaporkan dalam ‘Indian Journal of Biochemistry’ pada tahun 2009 yang memberikan kesimpulan positif kepada kesihatan dengan pengambilan santan dalam makanan.
Kajian ini membandingkan pengambilan minyak kelapa dengan pengambilan minyak bunga matahari dalam pemakanan seharian dan perbezaannya dengan paras kolesterol di antara kedua-duanya.
Hasil kajian ini merumuskan bahawa tiada perbezaan di antara pengambilan di antara kedua-dua jenis minyak masak ini dengan paras kolesterol dalam darah.
Oleh itu, pendapat yang menyatakan pengambilan santan menyebabkan peningkatan paras kolesterol dalam darah kurang tepat.
Santan bukan penyebab Ada banyak juga kajian lain yang merumuskan fakta bertentangan, tetapi kajian terbaru menunjukkan santan bukanlah faktor utama menyebabkan masalah kolesterol yang tinggi.
Antaranya mendapati penduduk dunia yang makan santan setiap hari mempunyai kadar penyakit jantung yang lebih rendah berbanding dengan masyarakat moden yang mengambil makanan segera dan makanan proses.
Kajian terkini mendapati pengambilan karbohidrat dan gula yang tinggi lebih berkait rapat dengan masalah penyakit kardiovaskular dan peningkatan paras kolesterol berbanding pengambilan lemak atau minyak dalam makanan.
Kajian juga mendapati pesakit kencing manis selalunya mempunyai paras kolesterol lebih tinggi kerana paras gula yang tinggi dalam darah walaupun tidak makan santan setiap hari.
Bagaimanapun, penulis mencadangkan bersederhana dalam pengambilan santan adalah lebih baik dan mengawal pengambilan gula berlebihan strategi yang baik mengawal paras kolesterol dalam darah dan mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular, insya-Allah.
Penulis Pengamal Perubatan Am, Pengkhususan Aestetik, Antipenuaan dan Perubatan Regenaratif

Sumber My Metro
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/06